Saintis yakin temui planet seakan Bumi
WASHINGTON 8 Jan. – Beberapa ahli astronomi mendakwa mereka hampir menjumpai beberapa planet seperti bumi yang mengelilingi bintang sekali gus bakal menjawab persoalan sama ada wujud kehidupan lain selain manusia di alam semesta ini.
Seorang pegawai kanan NASA dan beberapa ahli saintis memberitahu, dalam masa empat hingga lima tahun akan datang mereka dijangka bakal menjumpai sebuah planet yang dikatakan mampu dihuni oleh manusia atau ada juga yang berpendapat ia sudah pun dihuni manusia.
Perkara seperti exoplanets atau perkara yang berada di luar sistem kita adalah antara beberapa perkara yang dibincangkan pada perjumpaan tahunan Persatuan Astronomi Amerika minggu ini.
Beberapa saintis sebelum ini meramalkan manusia akan melalui kehidupan yang paling bermakna dalam sejarah mereka setelah persoalan sama ada wujud kehidupan selain bumi bakal terjawab.
“Persoalan utama ialah adakah kita berseorangan di alam semesta ini?
“Jika saya mahu bertaruh, saya mempertaruhkan bahawa kita tidak berseorangan di alam semesta ini, sebaliknya banyak lagi kehidupan yang wujud selain manusia di bumi,” kata Simon Pete Worden, Ketua Penyelidik Ames NASA.
Tahun ini, beberapa planet baru dijumpai setiap hari melalui teknologi teleskop Kepler hingga mencecah angka 400 buah. Namun kesemuanya tidak sesuai untuk dihuni manusia.
Bagaimanapun, apabila planet seperti bumi itu dijumpai, beberapa masalah lain pula akan timbul seperti harga yang tinggi untuk mengkaji mengenai kewujudan oksigen, karbon dioksida yang dikatakan akan menelan belanja sebanyak kira-kira AS$5 bilion (RM17 bilion). – AP